BERITA UTAMA

Isu Kampung Baru Cina, akhirnya Kor Ming mengalah

KUALA LUMPUR – Akhirnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengalah dan tidak mahu memanjangkan cadangannya berhubung Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi berkata, keputusan pemimpin DAP itu sekali gus sebagai penghormatannya kepada pendirian parti terbesar orang Melayu.

“Terima kasih YB Nga Kor Ming kerana menghormati pendirian UMNO dan tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Banyak keutamaan lain yang perlu kerajaan perpaduan tumpukan ketika ini terutama dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat, di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Asyraf, UMNO bersedia bersama dan bekerjasama rapat dengan KPKT bagi membantu agenda kementerian di bawah Kor Ming itu terutama yang melibatkan isu kemiskinan bandar, kesempurnaan kemudahan dan infrastruktur rakyat di kawasan perumahan, isu perumahan mampu milik generasi muda dan pelbagai isu lain yang menyentuh kualiti hidup rakyat di kawasan bandar khususnya.

Katanya, isu yang disebutkan itu melangkaui soal kaum dan memerlukan pendekatan bersifat keterangkuman dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan semuanya dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Diharapkan apa juga isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan dan perbincangan secara tertutup di kalangan anggota kabinet dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dapat diadakan terlebih dahulu pada masa akan datang,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *