BERITA UTAMA

Fasa akhir Monsun Timur Laut sehingga penghujung Mac

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac ini.

Dalam tempoh itu, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutama di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataannya berkata, ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.

“Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.

“Dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh melebihi 35°C pada awal petang.

“Setakat ini, suhu tertinggi yang dicatatkan oleh stesen meteorologi utama MET Malaysia adalah 36.9°C di Chuping, Perlis pada 8 Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata, berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di negara ini boleh menjadi lebih tinggi dikebanyakan tempat.

“Dalam keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.

“Orang ramai juga dinasihat mengehadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.

“Ikuti saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengekalkan keadaan sihat semasa cuaca panas,” ujarnya.

MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *