BERITA UTAMA

Prabowo Presiden Indonesia 2024 – 2029?

ESOK, Rabu 14 Februari 2024 adalah hari pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024 – 2029.

Presiden Joko Widodo atau Jokowi telah pun selesai menjalani masa pemerintahannya sebagai Presiden Indonesia selama dua penggal.

Dengan itu beliau sudah tidak boleh lagi menawarkan dirinya untuk jawatan tersebut.

Ada tiga pasangan yang akan bertanding bagi merebut jawatan tersebut. Pasangan pertama adalah Anis Baswedan dan Muhaimin Iskandar.

Pasangan kedua, Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming serta pasangan ketiga, Ganjar Pranowo dan Mahfud MD.

Banyak pihak dan termasuk saya, meramalkan bahawa pasangan Prabowo dan Gibran akan memenangi pemilihan Presiden Indonesia pada kali ini.

Kemenangan Prabowo – Gibran penting bagi meneruskan dasar-dasar pembangunan dan pelaburan yang telah dibina oleh Presiden Jokowi.

Terutamanya, dalam meneruskan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara China yang begitu mesra pada era pemerintahan Presiden Jokowi.

Saya menyokong penuh dasar-dasar pembangunan dan pelaburan Presiden Jokowi yang lebih terarah ke Pulau Borneo.

Ada banyak projek mega yang sedang dibangunkan di Kalimantan seperti Ibu Kota Nusantara (IKN), pelabuhan antarabangsa Mempawah, kilang petrokimia, smelter aluminium, kilang besi, kilang bateri kenderaan elektrik dan lain-lain lagi.

Namun, persoalannya kini, apakah pasangan Prabowo dan Gibran ini mampu meraih sokongan melebihi 50 peratus?

Sekiranya tidak mampu, maka pusingan kedua pemilihan Presiden Indonesia ini akan dilakukan dan dijangka pada 26 Jun 2024.

Penulis, Datuk Dr. Ramalan Yunus adalan penganalisis politik dan ekonomi bebas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *