BERITA UTAMA

Nasib juruterbang, seorang penumpang belum diketahui – CAAM

KLANG – Nasib juruterbang dan seorang penumpang pesawat ringan terhempas di Kapar tengah hari ini, belum diketahui.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, kedua mereka berada dalam pesawat jenis BK 160 Gabriel.

Kata beliau, pesawat itu dikendalikan Air Adventure Flying Club yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada jam 1.28 tengah hari tadi bagi penerbangan rekreasi.

“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1.35 tengah hari, tetapi tiada panggilan kecemasan diterima.

“Seorang juruterbang dan penumpang berada dalam pesawat tersebut, namun keadaan kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kapten Norazman, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *