BERITA UTAMA

Mayat juruterbang, penumpang ditemui terbenam dua meter

KLANG – Polis mengesahkan dua terkorban dalam nahas udara di Kampung Tok Muda, Kapar, dekat sini, tengah hari tadi.

Mayat mangsa berusia 30 hingga 40 tahun itu ditemukan dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira dua meter dalam tanah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Wan Omar berkata, kedua-dua mangsa sedang menjalani latihan penerbangan rekreasi.

“Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan kedua mangsa, yang kita percaya telah terkorban.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat dan pengecaman sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya kepada media.

Sebelum ini, Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Muda, Kapar.

Pesawat ringan model BK 160 Gabriel bernombor pendaftaran I-POOC, yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.

Dalam pada itu Hussein berkata, seluas 50 meter radius dari kawasan kejadian telah ditutup bagi memudahkan kerja mencari dan menyelamat (SAR) serta siasatan.

Tambahnya lagi, pihak berkuasa perlu berhati-hati menjalankan proses mengeluarkan mangsa dan mereka menggunakan khidmat jentera pengkaut dari pihak kerajaan tempatan.

Beliau berkata, kerja tersebut dijangka selesai menjelang malam ini.

“Siasatan akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dari Kementerian Pengangkutan, dan polis juga telah membuka kertas inkuiri.

“Kami dari pasukan PDRM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga, dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota pasukan dan agensi yang terlibat,” katanya lagi.

Sementara itu, polis sudah mengenalpasti identiti juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas itu.

Kata Hussein, mengikut senarai nama penumpang pesawat, mangsa yang terbabit adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42.

Katanya, mangsa yang difahamkan berasal dari Johor dan Pulau Pinang ditemui sekitar jam 2 petang di dalam kokpit.

Terdahulu, Hussein mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan terkorban, dalam nahas berkenaan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *