BERITA UTAMA

Bekas MP Kapar mengaku bersalah aib orang, didenda RM100

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM100 ke atas bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam kerana berkelakuan kurang sopan kepada seorang individu bulan lalu.

Majistret Sasha Diana Sabtu turut mengenakan hukuman penjara tiga hari jika tertuduh gagal membayar denda itu.

S Manikavasagam, 59, didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.

Beliau yang merupakan bekas Ketua PKR Cabang Kuala Selangor dituduh berkelakuan kurang sopan terhadap seorang individu dengan menghantar mesej kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Ahli Parlimen Kapar selama sepenggal dari 2008 hingga 2013 itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Subang Jaya, dekat sini, pada jam 3.27 petang, 4 Januari lalu.

Manikavasagam bagaimanapun, keluar PKR pada April 2018 selepas keahliannya digantung pada Ogos 2017.

Beliau mengaku bersalah dan dalam rayuannya, memaklumkan beliau kini pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dan bersedia membayar denda ditetapkan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran, manakala Manikavasagam tidak diwakili peguam, kemudian membayar denda berkenaan.

Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 menyebut sesiapa yang menggunakan perkataan kurang sopan, mengugut, aib atau menghina atau berkelakuan dengan cara mengugut atau menghina atau menampal atau melekatkan atau mempamerkan kertas bertulis atau lukisan kurang sopan mengugut aib atau menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan boleh didenda tidak melebihi RM100. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *