BERITA UTAMA

Polis terima 3 laporan ugutan bunuh daripada Nik Elin

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima tiga laporan daripada peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berhubung ugutan jenayah dan bunuh yang diterimanya.

Ugutan itu dibuat pihak tertentu menerusi media sosial susulan tindakan beliau memfailkan petisyen di mahkamah berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, satu kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut, manakala dua lagi masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya juga telah meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang terlibat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya nasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan di media sosial kerana mereka boleh disiasat mengikut dua seksyen ini,” katanya di sini, semalam.

Nik Elin Zurina ketika menjadi tetamu di sebuah program audio siar mendedahkan menerima banyak ugutan jenayah termasuk mahu disembelih susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Tinggi Persekutuan.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dalam petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen berkenaan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *