BERITA UTAMA

Pokoknya, hormati keputusan majoriti rakyat Kelantan, bukan mahkamah

MARTIN Luther King, Jr. pernah berkata: The ultimate measure of a man is not where he stands in moments of comfort and convenience, but where he stands at times of challenge and controversy.

Sekarang telah timbul satu kontroversi di Malaysia dalam aspek hukum dan undang-undang berkait keputusan Mahkamah Persekutuan (9 Februari 2024) dalam petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Keputusan kes ini disebut landmark decision dalam bahasa Inggeris yang bermaksud keputusan mahkamah yang amat penting. Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara telah mengetuai panel sembilan hakim dan menyampaikan keputusan penghakiman yang memihak kepada pempetisyen-pempetisyen dengan majoriti 8 lawan 1.

Ini bermakna dua pempetisyen tersebut menang dan pihak responden iaitu Kerajaan Negeri Kelantan kalah. Adakah perkara ini selesai dan kontroversi berkait dengannya reda dan semua orang boleh balik tidur dengan nyenyaknya? Jawapannya tidak.

Yang Amat Arif Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak adalah satu-satunya sahaja yang telah memberikan keputusan yang menentang atau dissenting judgment. Maka beliau di pihak minoriti.

Apabila kita berbicara soal menang dan kalah, soal majoriti dan minoriti, maka ada faedahnya jika kita merenung kata-kata Mahatma Gandhi: In matters of conscience, the law of the majority has no place.

Apa yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada hari Jumaat 09 Februari 2024 itu bukan isu conscience atau isu hati nurani. Tetapi isu keperlembagaan atau constitutionality.

Saya mempunyai pendirian yang dissenting juga, tetapi hujah saya tidak seperti apa yang dinyatakan oleh Yang Amat Arif Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Pendirian saya dalam kontroversi perundangan ini mengambil kira soal politik, sejarah dan budaya negeri Kelantan. Tiga perkara yang menjadi sandaran hujah saya ini berada di luar pertimbangan sembilan hakim Mahkamah Persekutuan tersebut. Pertimbangan mereka adalah hanya berasas kepada undang-undang yang sedia ada terpakai terutama merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, saya ingin membawa perpektif lain di luar skop undang-undang Perlembagaan iaitu soal politik. Kerajaan Pas di Kelantan telah memerintah negeri tersebut secara berterusan sejak Pilihanraya Umum tahun 1990 hingga sekarang iaitu selama 33 tahun.

Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah enakmen yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dan menjadi undang-undang apabila diperkenankan oleh Sultan Kelantan dan digazetkan dalam Warta Kerajaan Kelantan. Kini Enakmen tersebut terbatal dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Satu perkara yang perlu difikirkan adakah ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang majoritinya ADUN Pas tidak sedar bahawa rang undang-undang Enakmen yang diluluskan di DUN Kelantan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

Saya percaya mereka sedar. Adakah rang undang-undang Enakmen tersebut yang dibentangkan oleh kerajaan Pas Kelantan tidak menyedari bahawa enakmen itu boleh batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

Saya percaya mereka sedar kerana Kerajaan Negeri Kelantan bukanlah semberono dan membabi buta sengaja mahu membentangkan enakmen tersebut di DUN Kelantan.

Kerajaan Pas Kelantan bukan sebuah kerajaan armature yang baru memerintah negeri sekadar setahun dua. Di belakang kerajaan Negeri Kelantan terdapat Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan yang amat mahir dan faham hal Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, apabila Menteri Besar Kelantan, ADUN Pas Kelantan dan Penasihat Undang-Undang Kelantan tahu risiko dan kemungkinan Enakmen Kod Jenayah Syariah tersebut dicabar di mahkamah dan dibatalkan seperti apa yang berlaku sekarang, mengapa mereka tetap bertegas untuk meneruskan penggubalan enakmen tersebut?

Pada pandangan saya, jawapannya ialah tiga faktor yang saya sebut sebelum ini iaitu faktor politik, sejarah dan budaya rakyat Kelantan yang ada perbezaannya dengan kebanyakan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.

Kelantan adalah sebuah negeri berdaulat dalam sebuah Persekutuan yang super berdaulat. Rakyat Kelantan lebih 90 peratus rakyat Melayu beragama Islam. Lebih 33 tahun mereka telah memilih Pas sebuah parti Islam yang membawa agenda untuk memartabatkan undang-undang Syariah Islam di negeri Kelantan.

Rakyat memilih Pas di Kelantan melalui peti undi pilihanraya, bukannya secara ugut dan paksa. Pas memerintah di negeri Kelantan melalui pilihanraya yang demokratik mengikut lunas-lunas demokrasi, bukannya melalui kekerasan.

Jadi Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah manifestasi yang asasi kehendak majoriti rakyat Kelantan yang telah memilih Kerajaan Islam pimpinan Islam Pas dalam lapan pilihanraya umum berturut-turut (tahun 1990, 1995, 1999, 2004, 2008. 2013, 2018 dan 2022).

Dalam nafas kita akur dan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan maka saya, yang bukan seorang anggota Pas, tetapi seorang Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat yang politiknya menyokong dasar pelbagai kaum dan agama di Malaysia supaya kita bersikap adil kepada bukan sahaja Kerajaan Pas di Kelantan, tetapi keseluruhan majoriti rakyat Kelantan yang mahukan syiar Islam ditegakkan di negeri mereka.

Perkara ini tidak boleh diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, tetapi perlu diserahkan kepada Mahkamah Keadilan Rakyat. Dalam hal ini perkataan conscience yang disebut oleh Mahatma Gandi itu adalah relevan. – NasionalDaily

Penulis, Hassan Abdul Karim adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *