BERITA UTAMA

Pengalaman kelebihan sebenar buat Azizulhasni

JAGUH keirin negara, Datuk Azizulhasni Awang boleh dijulang sebagai pejuang sejati kerana sanggup berkorban biarpun terpaksa menahan kesakitan bagi memahat nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata, semangat juang pelumba berusia 36 tahun itu wajar menjadi model dan contoh buat para atlet demi negara tercinta.

Malah beliau meluah keyakinan atlet berusia 36 tahun itu mampu terus berkayuh bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan.

“Saya sangat teruja dengan semangat melawan yang dipamerkan oleh Azizulhasni. Dia seorang pejuang dan model sejati untuk atlet lain.

“Malah saya sentiasa yakin dengan keupayaan mental dan stamina yang ditunjukkan Azizulhasni. Dia mempunyai pengalaman bertahun-tahun dan itulah kelebihannya yang sebenar,” katanya kepada Sukan Sinar.

Azizulhasni tidak menunjukkan sebarang kesakitan untuk meraih pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Australia pada 3 Februari lalu.

Beliau yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman yang perlu mengambil ubat perikarditis (keradangan jantung) tampak bersahaja apabila kayuhannya mengatasi dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota, masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Amarjit menjelaskan berasa bimbang dengan keadaan kesihatan pelumba tersebut, namun percaya dengan pasukan perubatan yang sentiasa memantau situasinya.

“Sejujurnya, saya bimbang dengan keadaan kesihatan Azizulhasni. Walaupun kami bimbang dengan keadaannya, tapi dia dijaga oleh doktor terbaik untuk memastikan dia berada dalam keadaan fizikal yang baik menjelang Sukan Olimpik Paris,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *