BERITA UTAMA

Kes Nik Elin: Membetulkan cara pandang dan neraca

ISU ini terlalu teknikal dan memang perlukan kepakaran serta kejujuran dalam mengulasnya.

Saya mengelak dari dipengaruhi oleh pengulas yang memang ada kecenderungan politik yang mempertahankan kedudukan kumpulannya di mata pengundi dan penyokong lebih dari melihat kesan isu ini kepada kedudukan Islam dan negara itu sendiri.

Saya perlu membaca lebih banyak dan mendengar ulasan pakar lebih ramai sebelum berani untuk mengulas lanjut, tetapi apa yang mampu saya kongsikan di sini beberapa persoalan asas yang sepatutnya tidak dikelirukan oleh sesiapa pun.

Rujukan tertinggi dalam undang-undang bagi umat Islam adalah al Quran dan Sunnah. Penjajahan menjadikan undang-undang Islam yang diamalkan dahulu telah berubah kepada undang-undang persekutuan dan undang-undang syariah.

Kedua-duanya tidaklah sepenuhnya mengikut undang-undang Islam. Walau pun begitu mesti diakui bahawa undang-undang syariah telah digubal untuk menghampiri kehendak al-Quran dan Sunnah. Ini mesti dipertahankan.

Jika berlaku pertindanan antara undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri (syariah) adakah undang-undang persekutuan yang perlu dipertahankan?

Bagi umat Islam, apa yang ada dalam al-Quran dan Sunnah itulah yang mesti dipertahankan. Undang-undang persekutuan itu sendiri sepatutnya tunduk di bawah kehendak al-Quran dan Sunnah.

Adakah undang-undang dalam al-Quran dan Sunnah diturunkan hanya untuk orang Islam?

Inilah hujah yang sentiasa diulang bahawa perlu ada undang-undang yang adil untuk semua dan ia dilakukan di peringkat persekutuan.

iii. Adakah undang-undang persekutuan itu juga apa yang dipanggil takzir dalam undang-undang negeri (syariah)?

Nampak sama tapi tak sama. Bezanya besar iaitu kesalahan takzir adalah kesalahan yang ditentukan oleh al-Quran dan Sunnah. Kesalahan dalam undang-undang persekutuan yang dikatakan kononnya sama seperti takzir ditentukan oleh Ahli Parlimen yang Islam dan bukan Islam.

Sebab itu ada istilah judi halal dan judi haram. Bila berlesen jadi halal, sedangkan sepatutnya dengan lesen pun al-Quran kata perlu ditakzir.

Demikian sedikit coretan ringkas di petang Ahad ini. Moga membuka sedikit ruang untuk difikirkan. – NasionalDaily

Penulis, Muhammad Fauzi Asmuni adalah Timbalan Presiden ISMA yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Al-Azhar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *