BERITA UTAMA

Hamas beri amaran pencerobohan Israel ke atas Rafah tutup rundingan tebusan

GAZA – Hamas semalam memberi amaran kepada Israel bahawa serangan darat di Rafah yang penuh sesak dengan penduduk Gaza akan menjejaskan rundingan pembebasan tebusan.

Rancangan menyerang Rafah itu turut mendapat reaksi Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang menggesa perlindungan orang awam di wilayah yang dikepung itu.

Kerajaan asing, termasuk sekutu utama Israel, AS dan kumpulan bantuan menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap ikrar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk melanjutkan operasi jauh ke selatan Gaza.

Rafah yang bersempadan dengan Mesir, kekal sebagai tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri daripada pengeboman tanpa henti Israel dalam perang empat bulan sejak 7 Oktober.

“Sebarang serangan oleh tentera pendudukan ke atas bandar Rafah akan menjejaskan rundingan pertukaran,” kata seorang pemimpin Hamas kepada AFP yang enggan namanya disiarkan.

Sebelum ini Netanyahu menegaskan tentera bersiap sedia memasuki bandar yang kini menempatkan lebih separuh daripada jumlah penduduk Gaza, mencetuskan kebimbangan mengenai kesan terhadap orang awam yang dipindahkan.

Biden bercakap dengan Netanyahu melalui telefon semalam dan memberitahunya bahawa kemaraan tidak seharusnya diteruskan sekiranya tiada rancangan “boleh dipercayai” untuk memastikan “keselamatan” orang yang berlindung di sana, kata Rumah Putih.

Kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin bersesak ke Rafah dengan ramai yang tinggal di dalam khemah manakala makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan.

Netanyahu memberitahu penyiar AS, ABC News bahawa operasi Rafah akan diteruskan sehingga Hamas dihapuskan, sambil menambah dia akan menyediakan “laluan selamat” kepada orang awam yang ingin keluar.

Pengantara mengadakan rundingan baharu di Kaherah, Mesir untuk menghentikan seketika pertempuran dan pembebasan beberapa daripada 132 tebusan yang dikatakan Israel masih berada di Gaza, termasuk 29 yang dianggap terkorban.

Hamas menahan kira-kira 250 tebusan pada 7 Oktober, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel. Puluhan telah dibebaskan ketika gencatan senjata selama seminggu pada November.

Sayap tentera Hamas semalam berkata, dua tebusan terbunuh dan lapan lagi parah dalam pengeboman Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Netanyahu berdepan gesaan untuk pilihan raya awal dan bantahan yang semakin meningkat atas kegagalan pentadbirannya membawa pulang tebusan.

Serangan Israel telah lama mencecah sasaran di Rafah, dan pertempuran semalam kelihatan sengit beberapa kilometer ke utara di bandar Khan Yunis. Wartawan AFP mendengar letupan berulang dan melihat kepulan asap hitam.

Tentera Israel berkata tentera sedang melakukan “serbuan yang disasarkan” di barat Khan Yunis, bandar utama di selatan Gaza, manakala Hamas melaporkan pertempuran ganas dan berkata serangan udara turut melanda Rafah.

Serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang dan rejim Zionis bertindak balas dengan serangan tanpa henti di Gaza yang diperintah Hamas yang dikatakan oleh kementerian kesihatan wilayah itu telah membunuh sekurang-kurangnya 28,176 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Hamas berkata, berpuluh-puluh mayat telah ditemui di Gaza City selepas tentera darat Israel berundur dari kawasan itu.

Kebanyakan daripada mereka “mati syahid oleh peluru penembak tepat”, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *