BERITA UTAMA

Selangor maju industri seni, perkenal dasar ekonomi kreatif

SHAH ALAM – Satu dasar ekonomi kreatif akan dibangunkan oleh kerajaan Selangor bagi membantu usahawan dalam bidang berkenaan supaya lebih mampan dan berdaya maju.

EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana negeri, Najwan Halimi berkata, dasar itu dirangka selepas mengambil kira pandangan pemain industri seni digital dan pemegang taruh melalui sesi libat urus pada April ini.

“Dalam masa terdekat selepas Hari Raya Aidilfitri, kita akan kumpulkan pemain industri dan pemegang taruh untuk dapatkan maklum balas dan keperluan mereka melalui sesi Simposium Ekonomi Kreatif Negeri Selangor.

“Segmen ekonomi kreatif menjadi keutamaan Kerajaan Negeri kerana mereka kurang disantuni, jadi kita ingin pastikan pemain industi yang berpontensi dan berbakat ini tidak ketinggalan,” katanya merasmikan Majlis Pameran ‘Beyond by Bold 2024’ Seni Grafik dan Media Digital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini.

Najwan menambah Dana Usahawan Madani Selangor berjumlah RM2 juta bakal dilancarkan Dato’ Menteri Besar bulan ini untuk menggalak pemain industri seni digital mengembang inovasi mereka.

“Sebelum ini kerajaan negeri menyediakan Dana Usahawan Mikro yang kita telah perkemaskan kepada Dana Usahawan Madani Selangor.

“Kita akan kembangkan pemberian dana melalui skop baharu ini bukan sahaja kepada usahawan konvensional seperti pembuatan makanan yang diberikan geran malah kita akan luaskan kepada pemain industri ekonomi kreatif ini,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *