BERITA UTAMA

‘Tindak balas di Gaza sudah melampaui batas’ – Biden

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan pegawai tentera rejim itu untuk menyediakan pelan ‘evakuasi’ Rafah di mana separuh daripada 2.4 juta penduduk Gaza sedang berlindung.

“Perdana Menteri telah mengarahkan pegawai untuk mengemukakan satu pelan bersepadu kepada Kabinet bagi pelaksanaan evakuasi penduduk dan memusnahkan batalion kumpulan Hamas di bandar itu,” menurut kenyataan dikeluarkan pejabatnya, hari ini.

Hari ini, Israel terus melancarkan serangan baharu ke atas bandar Rafah biarpun Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, membuat kenyataan bernada keras terhadap sekutu Washington itu.

Netanyahu berkata, beliau sudah mengarahkan pasukan tenteranya supaya ‘bersiap siaga untuk beroperasi’ di Rafah – satu-satunya bandar utama di Gaza yang masih belum diserang rejim Zionis dari darat.

Washington adalah sekutu utama Israel dengan menyediakan bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar, namun Jabatan Negara AS menekankan pihaknya tidak menyokong pelaksanaan serangan darat di Rafah.

Malah, dilihat sebagai tanda kekecewaannya yang semakin meningkat terhadap kepimpinan Israel, Biden menegaskan, tindakan ketenteraan Israel sejak peperangan meletus pada 7 Oktober lalu, kini sudah melampaui batas.

“Pada pandangan saya, sebagaimana anda tahu, pengendalian tindak balas di Gaza… di Semenanjung Gaza… sudah melampaui batas.

“Terdapat ramai orang yang tidak bersalah sedang kebuluran… dalam kesengsaraan serta mati, dan ia harus dihentikan,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *