BERITA UTAMA

Sebenarnya Nik Elin tak mahu dua undang-undang bertembung

PAK Dee taklah pandai sangat pasal hukum hakam syariah dan sivil ni. Tapi, lihat kepada apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini, Pak Dee rasa terpanggil untuk turut mengulas dan mengupas apa sebenarnya berlaku.

Al-kisahnya ada la seorang peguam ni, jantinanya wanita, agamanya Islam. Dia secara tiba-tiba telah mencabar enakmen jenayah syariah Kelantan.

Usaha pertamanya bermula di Selangor dalam kes Iki Putra Mubarak yang didakwa atas kes jenayah syariah iaitu liwat pada 21 Ogos 2019. Mamak ini dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii.

Tetapi, ada pihak lain mahu Iki Putra ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan (KK) dengan alasan peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung kesalahan itu bertentangan dengan hukum tabii adalah tidak sah disebabkan bertentangan dengan Perlembagaan.

Berikutan itu, pada 25 Februari 2021 Mahkamah Persekutuan membenarkan cabaran undang-undang seksyen berkenaan dibuat oleh Iki Putra.

Keputusan mahkamah itu secara tak langsung telah mengetepikan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan bahawa seks di luar tabii adalah jenayah.

Pada pandangan Pak Dee, sama ada hukuman dijatuhkan mengikut undang-undang syariah atau undang-undang sivil sama saja kerana kedua-duanya bersifat menjatuhkan hukum kepada pelaku.

Cuma bezanya, kalau dilihat pada mata kasar, hukuman jenayah syariah ni lebih ringan dari hukuman jenayah sivil.

Pak Dee nak beri contoh, katalah tertuduh didapati bersalah atas tuduhan liwat, kalau ikut KK, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum 30 tahun, tapi bawah enakmen syariah pula hukumannya maksimum tiga tahun.

Begitu juga dalam kes merogol haiwan atau binatang, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun di bawah KK, tapi maksimum dua tahun bawah enakmen syariah.

Kesalahan atas perilaku sumbang mahram pula, hukuman bawah KK maksimum 30 tahun, tapi bawah enakmen syariah maksimum tiga tahun.

Jika ditilik dan diperhatikan, hukuman sebenarnya bawah KK lebih setimpal berbanding hukuman bawah enakmen syariah yang dilihat terlalu ringan.

Dan sebab itulah, peguam bernama Nik Elin, selepas memerhati perkara itu di Kelantan dan diambil kira kes Iki Putra di Selangor, makanya telah memfailkan notis usul mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 untuk membatalkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen berkenaan.

Pada Pak Dee, ada betulnya juga tindakan Nik Elin ni dari segi nak ‘mensetimpalkan’ hukuman kepada pelaku, kerana meliwat, merogol binatang dan sumbang mahram ni perlu dikenakan hukuman yang lebih berat.

Dalam bab mencabar ni kita tak boleh salahkan mahkamah. Mahkamah hanya membuat keputusan berdasar dan bersandarkan kepada hujah yang kuat dari peguam. 

Dalam hal ini, selepas Mahkamah Persekutuan mendengar hujah Nik Elin yang banyak kesahihannya, maka mahkamah membenarkan notis usul cabaran peguam wanita itu terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan.

Itulah kisahnya kalau mengikut pemahaman sempit Pak Dee. Nik Elin telah memfailkan petisyen berhubung cabarannya terhadap kanun jenayah itu dan minta dibicarakan supaya mahkamah dapat membuat keputusan yang tepat dan adil.

Namun, Pak Dee difahamkan pada 19 Mac 2023, seramai 200 peguam termasuk peguam bela, peguam cara dan peguam syarie telah menandatangani petisyen itu bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra.

Dan, pada 17 Ogos 2023 pula, seramai sembilan hakim telah membuat keputusan bahawa peruntukan Enakmen Jenayah Syariah 1995 yang menyatakan bahawa seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan.

Maka, Pak Dee difahamkan perbicaraan kes itu telah memihak kepada Iki Putra. Alasan diberikan ialah negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan jenayah liwat mengikut undang-undang syariah kerana kesalahan jenayah liwat adalah tertakluk di bawah kuasa Persekutuan serta undang-undang Persekutuan serta undang-undang Persekutuan (KK).

Keputusan itu kemudiannya membangkitkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin dan penyokong Pas. Dah mula melibatkan politik pulak. Elok-elok kes berjalan secara perundangan tanpa campur tangan politik, tiba-tiba jadi isu politik pulak. Nampak tak ada mainan di situ?

Maka, berbondong-bondonglah orang politik menganjurkan himpunan yang dinamakan Himpunan Selamatkan Syariah. Mereka berkumpul di depan Istana Kehakiman Putrajaya, kononnya untuk menzahirkan bantahan.

Rakyat marhaen yang tak tahu menahu hukum perundangan itu telan bulat-bulat dengan menanam tuduhan kononnya ada pihak cuba mencabar dan menggugat undang-undang dan institusi Mahkamah Syariah negeri-negeri Melayu.

Padahal pada pandangan Pak Dee, ia tiada kena mengena pun dengan usaha pihak tertentu nak mencabar, apatah lagi mengganggu-gugat undang-undang syariah.

Yang jelas di sini, undang-undang syariah itu masih lemah. Mereka gubal tidak mengikut hukum sebenar al-Quran dan hadis Nabi SAW. Jadi, mahkamah sivil atau jenayah cuba nak perbetulkan.

Tapi itulah, bila ada pihak nak mempolitikkan, perkara yang biasa-biasa bertukar jadi luar biasa. Isu yang kecil menjadi besar dan berbelit-belit hingga rakyat pun menuduhlah pihak pemerintah nak berpolitik dalam isu hukum syariah.

Padahal tak ada apa pun. Tapi dah ada pihak sengaja nak putar belitkan, maka berbelit-belitlah. Pening Pak Dee mikir mainan politik sedekad dua ni. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *