BERITA UTAMA

Nik Elin tiada locus standi?

Penulis, Abdul Rahim Hilmi Zakariya, Kuala Terengganu

SAYA telah membaca penghakiman 8-1 Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan. Kesimpulan saya mudah.

Rahman Sebli adalah Salleh Abas 2.0

Kalau kita baca keseluruhan penghakiman, Tan Sri Abdul Rahman Sebli menolak pembatalan peruntukan enakmen syariah tersebut hanya dengan satu hujah sahaja.

Iaitu Nik Elin tiada locus standi. Nik Elin tiada hak nak membawa kes tersebut ke mahkamah.

Saya beranggapan TS Rahman Sebli sudah tentu sedar bahawa ada percanggahan dalam enakmen tersebut dengan perlembagaan.

Dan satu-satunya cara untuk memastikan enakmen syariah ini sah sepenuhnya adalah dengan meminda perlembagaan itu sendiri.

Tapi ia memerlukan masa. Meminda perlembagaan tidak boleh dibuat dalam masa sehari

Dengan menolak petisyen ini atas alasan teknikal, kerajaan Malaysia hari ini akan mempunyai masa cukup untuk melakukan pindaan. Selepas ia gagal dibuat oleh beberapa kerajaan sebelumnya.

Jika perlembagaan berjaya dipinda dan petisyen ini dibawa semula, maka sudah tentu ia akan ditolak. Tiada lagi ancaman selepasnya

Ia mengingatkan saya kepada kes Suzie Teoh pada zaman Tun Salleh Abas menjadi Ketua Hakim Negara. Suzie Teoh berumur 16 tahun ketika memeluk Islam.

Tetapi perlembagaan menetapkan bahawa hak memilih agama hanya diberikan pada individu berumur 18 tahun ke atas.

Tun Salleh Abas sedar perkara ini. Dari segi perlembagaan, Suzie perlu dikembalikan kepada agama asalnya. Tetapi dari segi iman, dia tidak boleh membenarkan murtad berlaku.

Maka dia membeli masa. Dia menangguhkan kes ini 6 kali atas alasan teknikal. Sehingga apabila Suzie Teoh berumur 18 tahun, barulah perbicaraan selesai. Dan ketika itu kekallah Suzie Teoh memilih Islam kerana tiada lagi sekatan pada umurnya

Kes ini menjadi salah satu sebab pemecatan Tun Salleh Abas pada zaman kerajaan Mahathir.

Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Tun Salleh Abas mempunyai banyak persamaan. Mereka meletakkan iman sebagai keutamaan dalam celah kelemahan undang-undang

Mereka juga memilih untuk kekal berdiri pada paksi kebenaran walaupun ia mungkin tidak disukai ramai orang.

Sepertimana Tun Salleh Abas yang tidak takut menegur tindak tanduk kerajaan pada zamannya yang mengganggu sistem kehakiman, Tan Sri Abdul Rahman Sebli juga tidak takut membuat keputusan luar biasa dalam kes Dato Seri Najib Tun Razak.

Beliau adalah satu-satunya hakim yang kekal dengan pendirian bahawa Najib patut dibebaskan kerana telah berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan tersebut.

Malah lebih jauh dalam hujah penghakimannya, beliau mengkritik panel hakim diketuai Tengku Maimun (Ketua Hakim Negara) yang telah menyalahgunakan kuasa dengan memaksa peguam yang telah menarik diri untuk terus mewakili Najib.

Dia menyebut dengan jelas. Najib teraniaya. Rayuan Najib tidak didengar. Ketidakadilan kepada Najib terlalu besar.

Dahulu ketika saya menulis tentang kes Najib, ramai orang PH dan PN memberikan komen “Takkanlah seorang hakim (Rahman Sebli) lebih pandai daripada 4 lagi hakim yang telah memutuskan Najib kekal bersalah”

Hari ini 8 daripada 9 hakim memutuskan 16 peruntukan syariah Kelantan tidak sah. Kenapa anda berhimpun tidak puas hati pula?

Saya menunggu setahun untuk menyebut perkara ini:

Allah sebut dalam Quran surah An Nahl ayat 38:

Walaakinna Aktharannasi La Ya’lamuun

“akan tetapi KEBANYAKAN MANUSIA itu tidak mengetahui”

Saudaraku, kebenaran itu tidak mengikut ramainya manusia

Tetapi kebenaran itu berdiri dengan hujah walaupun sedikit bersamanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *