BERITA UTAMA

Tokoh nasionalis desak Kor Ming letak jawatan

KUALA LUMPUR – Beberapa tokoh nasionalis membantah cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung menjadikan kampung baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO.

Mereka mendesak pemimpin DAP itu meletakkan jawatan sebagai menteri kerana sengaja mengemukakan cadangan yang dianggap sebagai tidak wajar, selain menyinggung perasaan dan menjejaskan status warisan orang Melayu.

Naib Presiden Parti Putra, Datuk Asmawar Samat dalam kenyataannya berkata, ramai para nasionalis Melayu berkumpul mendengar bantahan ke atas cadangan itu.

Katanya, perkumpulan itu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini semalam, membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh Kor Ming.

“Setelah masing-masing mengemukakan hujah bantahan, mereka mencapai kata sepakat mendesak Kor Ming meletakkan jawatan sebagai menteri KPKT kerana telah menyinggung perasaan orang Melayu,” katanya.

Asmawar berkata, sebelum ini, negara telah dimajukan dengan kenyataan mantan menteri, Tan Sri Rafidah Aziz yang menyelar sikap nasionalis mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Ketua Wanita UMNO itu dilaporkan berkata, rakyat sekarang ini perlu bersikap dan menganggap diri sebagai orang Malaysia, bukan orang Melayu demi kesamarataan kaum jika mahu maju ke hadapan.

Kata Asmawar, Rafidah kini seolah sudah menjadi jurucakap kepada kumpulan liberal bagi membantu untuk membunuh benih jati diri nasionalisma anak muda Melayu.

“Sedarkah Rafidah, mana ada negara asal menukar identiti bangsa, tapi memartabatkan bangsa peribumi dengan tegas tanpa tolak ansur.

“Rafidah tidak ada hak untuk menjual identiti bangsa Melayu sebagai teras bangsa Malaysia.

“Apakah dia nak jadi hero kepada kaum minoriti atau kerana kekayaan atau mahu mengampu kerana takut kepada siasatan pihak berkuasa”,” soalnya.

Beliau juga mengingatkan kepada bekas pemimpin UMNO itu pada suatu ketika berlaku isu saham yang dianugerah kepada menantu dan siapakah gerangan rakan yang mendapat banyak permit import (AP).

Kenyataan Rafidah, ujarnya pasti ada pihak gembira kerana ada bangsa Melayu yang meludah ke muka bangsanya sendiri secara tersirat.

“Kita tidak perlu memakai baju kuning untuk melawan orang memakai baju merah atau nanti berbaju ungu untuk melawan orang berbaju hijau. Tanah Melayu juga sudah tidak ada lagi.

“Nampaknya ada kalangan kita orang Melayu yang sudah ‘anti climax’ hingga membenci orang Melayu yang berjuang dengan nada nasionalis, kononnya bersikap nasionalis itu nanti akan menghalang negara daripada menjadi maju.

“Persoalannya, mengapa orang Melayu sahaja yang diselar, tetapi orang Cina segelintir lainnya yang selalu mendesak sesuatu demi kepentingan dan keuntungan mereka tidak diselar, malah disokong secara senyap?,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *