BERITA UTAMA

Polis rampas rokok, minuman keras tidak bercukai bernilai RM98 juta

KUALA LUMPUR – Polis merampas sejumlah besar rokok seludup dan minuman keras tidak bercukai bernilai kira-kira RM98 juta dalam tiga serbuan di Kuching, Sarawak.

Dalam serbuan itu juga polis turut menahan lapan individu termasuk seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan barangan berkenaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Katanya, selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan penyeludupan itu, satu operasi dijalankan melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dan Polis Kontinjen Sarawak.

Kata beliau, dalam operasi itu, pihaknya telah menahan lapan individu dan merampas lebih 40 juta batang rokok pelbagai jenis, 44,325 peti minuman keras jenis bir dan 391 kotak minuman keras jenis liquor.

“Anggota pasukan juga turut merampas sebuah kenderaan jenis van, sebuah forklift dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM98.7 juta.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam tadi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Hazani berkata, sebanyak 30 serbuan telah dilakukan di seluruh negara termasuk Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1 dan Op Bersepadu Khazanah sejak 1 Januari lalu hingga semalam.

Dalam operasi itu, katanya, seramai 91 individu ditahan dan merampas pelbagai barangan tidak bercukai, minyak diesel bersubsidi, haiwan serta hidupan liar yang dianggarkan bernilai lebih RM181 juta.

“Polis sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi supaya tidak berlaku ketirisan hasil negara.

“Justeru, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amat digalakkan supaya kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” kata beliau. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *