BERITA UTAMA

Perundangan Jenayah Syariah di 13 negeri dalam bahaya?

PUTRAJAYA – Undang-undang Jenayah Syariah Islam di semua 13 negeri kini berada dalam keadaan bahaya dan kritikal berikutan Mahkamah Persekutuan memutuskan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan terbatal dan tidak sah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini bererti jika sesiapa dituduh dalam kes sama di Mahkamah Syariah di negeri-negeri, apabila diberitahu di Kelantan dibatalkan, maka kes di negeri lain juga boleh dibatalkan.

Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang menyifatkan perkara itu sangat serius, di mana perkara berkaitan agama di negeri-negeri adalah di bawah Sultan atau Raja selaku Ketua Agama Islam dan Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat Persekutuan.

“Saya difahamkan sudah ada satu jawatankuasa khas di peringkat Kerajaan Negeri Kelantan untuk memikirkan kesan daripada keputusan ini.

“Sudah tentulah undang-undang syariah perlu ada di negeri. 

“Bila dibatalkan perlu ambil tindakan yang sewajarnyalah,” katanya selepas Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Pas Kota Bharu, Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turut akan mengemukakan soalan berkaitan pada sidang Dewan Rakyat akhir bulan ini.

Beliau turut membayangkan soalan tersebut akan meminta kerajaan menyatakan langkah bagi melindungi undang-undang jenayah syariah di negara ini.

“Undang-undang yang diputuskan batal dan tidak sah itu perlu ada misalnya dalam menangani kes bapa ayam di mana ia merupakan kesalahan jenayah syariah,” katanya.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini, memutuskan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan yang dianggap bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *