BERITA UTAMA

Jakim, JKSM diarah dapatkan alasan penghakiman bertulis kes Nik Elin

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) diarah supaya segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes Nik Elin melawat kerajaan Kelantan.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bertujuan untuj kajian dan perancangan selanjutnya bagi pihak kerajaan.

“Sebagai tindakan segera, saya telah mengarahkan Jakim bersama JKSM berusaha segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes ini untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas dalam Perlembagaan.

“Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes berkenaan yang akan diputuskan di Mahkamah Putrajaya petang ini.

Kata Dr. Mohd Na’im, segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan.

“Saya akan segera memohon perkenan untuk menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah hari ini.

“Saya juga akan segera memohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan.

“Saya juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk kita sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, pihaknya akan segera melakukannya.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi akan mengkaji isu berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

Justeru, katanya, semua pihak diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *