BERITA UTAMA

AS tingkatkan serangan, sasar pemberontak Houthi di Yaman

WASHINGTON – Komando Pusat Amerika Syarikat (AS), CENTCOM melakukan tujuh serangan mempertahankan diri terhadap empat kapal tanpa pemandu (USV) milik pemberontak Houthi.

Pada masa sama, tujuh peluru berpandu anti-kapal yang bersedia untuk dilancarkan kumpulan pemberontak itu menyasarkan kapal di Laut Merah turut dimusnahkan, kata tentera AS.

Pemberontak Houthi yang bersekutu dengan Iran dan menguasai kawasan menempatkan penduduk tertinggi di Yaman, melancarkan gelombang serangan dron serta peluru berpandu ke atas kapal komersial di Laut Merah dan Teluk Aden sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Serangan itu disifatkan sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza bagi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin, yang pada masa sama mengganggu operasi kapal dagang antarabangsa.

AS dan Britain baru-baru ini melancarkan serangan ke atas sasaran Houthi di Yaman dan kembali menyenaraikan kumpulan itu dalam senarai ‘pengganas’.

“CENTCOM mengenal pasti peluru berpandu dan USV itu di kawasan yang dikuasai Houthi di Yaman dan dikesan memberi ancaman kepada kapal Tentera Laut AS dan kapal dagang di rantau itu,” kata Komando Pusat AS dalam satu kenyataan.

Serangan Houthi ke atas kapal di sekitar perairan Laut Merah memperlahankan perdagangan antara Asia dan Eropah, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kesesakan bekalan.

Ia juga menimbulkan kegusaran dalam kalangan kuasa besar bahawa perang Gaza mungkin menjadi konflik serantau merebak ke seluruh Asia Barat.

Bulan lalu, Presiden AS, Joe Biden berkata, serangan terhadap Houthi akan diteruskan walaupun beliau mengakui kumpulan pemberontak itu mungkin tidak akan menghentikan serangan mereka. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *