BERITA UTAMA

Samirah dan dua remaja kekal bebas dari tuduhan membunuh

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar serta dua remaja atas pertuduhan membunuh CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan enam tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu secara sebulat suara, selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan ketiga-tiga tertuduh itu.

BH melaporkan, Samirah dan dua remaja terbabit serta seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga jam 4 pagi 14 Jun 2018.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

Pada 21 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga individu berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 49, dan dua remaja terbabit yang kini berusia 18 serta 21 tahun.

Dalam penghakimannya, Ab. Karim dilaporkan berkata, pasukan pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa ketiga-tiga mereka membunuh CEO Cradle Fund itu seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Dalam prosiding rayuan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari, berhujah percikan darah pada dinding bilik yang terbakar di lokasi mayat Nazrin ditemui adalah sepadan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa.

Namun, peguam bela Samirah dan dua remaja itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berkata, kematian Nazrin adalah tragis, bukan pembunuhan.

Pihak pembelaan menunjukkan bukti kukuh dan keterangan saksi yang menyangkal dakwaan kebakaran, penemuan petrol serta pelbagai elemen pertuduhan pembunuhan.

Muhammad Shafee menegaskan, pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai, apatah lagi keterangan mengikut keadaan yang membawa kepada kesimpulan bahawa tertuduh melakukan pembunuhan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *