BERITA UTAMA

Rakyat Palestin dikhianati agensi dunia, kuasa barat – Azmi

SHAH ALAM – Himpunan Mega Untuk Palestin kecewa dan marah terhadap kuasa Barat terutama Amerika Syarikat (AS) dan konconya yang mengkianati warga Palestin khususnya Gaza.

AS umpamanya, sudah hilang tanggungjawab moral untuk berbicara soal hak manusia, keadilan mahupun demokrasi.

Tegas Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid, badan dunia seperti PBB langsung tidak bertindak tegas, malah tunduk kepada kuasa barat, selain lobi Israel sehingga tidak mampu menguatkuasakan puluhan resolusi mengenai keganasan rejim zionis yang dilulus di UNGA.

Kata beliau, kegagalan melindungi rakyat awam di Gaza, malah membekalkan senjata pembunuh kepada Israel bermakna AS turut terlibat dan harus didakwa di Mahkamah Dunia.

“Atas nama hak Israel mempertahankan diri, AS telah merestui dan menaja jenayah genosid serta jenayah perang oleh Israel ke atas Gaza.

“Jelas AS bersubahat dan bersekongkol dengan Israel membunuh kanak-kanak serta wanita dan menghancurkan prasarana awam seperti hospital dan tempat kediaman yang penting untuk kehidupan asas.

“Malah, penyambung hayat seperti air elektrik dan sumber tenaga juga menjadi sasaran serangan Israel mengakibatkan nyawa seluruh warga Gaza berada dihujung tanduk,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Azmi berkata, Israel langsung tidak menghiraukan keputusan ICJ dan lebih berat lagi seraca terangan meningkatkan serangan ke atas penduduk di Gaza dengan membunuh ratusan nyawa setiap 24 jam sejak keputusan ICJ diumumkan.

Katanya, ia suatu yang tidak mengejutkan apabila Amerika merestui Israel meneruskan operasi militarinya yang melanggar Konvensyen Geneva.

“Kami dari gabungan NGO seMalaysia melancarkan siri jelajah ke setiap negeri menjelang Perhimpunan Mega Bersolidariti Bersama Palestin pada 2 Mac ini di Kuala Lumpur,” katanya.

Siri jelajah itu ialah Alo Setar, Kedah pada 5 Februari lalu, Negeri Sembilan hari ini dan dikuti Kota Bharu, Kelantan (16 Februari); Kuantan, Pahang (16 Februari); Johor Bahru (18 Februari) dan Pulau Pinang (27 Februari).

Menurut beliau lagi, tujuan jelajah itu untuk mengajak rakyat dari seluruh negara dari pelbagai ras dan agama hadir ke perhimpunan mega nanti.

“Kami berpendirian Malaysia harus lebih menonjol untuk menyuarakan pandangannya terhadap konflik di Gaza sebagai isu kemanusiaan dan keadilan sejagat.

“Kami menyeru rakyat dan kerajaan menyemarakkan kesedaran serta kepedulian terhadap perjuangan mengembalikan hak, kedaulatan dan kemerdekaan Palestin.

“Suara rakyat penting supaya langkah diambil kerajaan setakat ini didukung dalam memberi tekanan yang kuat kepada Israel. Kerajaan sudah lantang dalam menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia tidak berkompromi dengan keganasan Israel,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *