BERITA UTAMA

NGO Nasionalis tolak cadangan Kg Baru Cina sebagai warisan UNESCO

KUALA LUMPUR – Nasionalis, sebuah gabungan NGO-NGO Melayu membantah keras cadangan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming agar Kampung Baru Cina di Selangor dijadikan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

NGO itu beranggapan cadangan berkenaan bersifat perkauman totok pemimpin DAP terbabit yang sepatutnya menggunakan pelantikannya di bawah restu Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan hasrat dan sumpah Institusi Diraja bagi menjaga serta memelihara kepentingan sah Melayu dan Bumiputra dan warga Malaysia yang sah.

Menurut Pengerusinya, Aminuddin Yahya, cadangan Kor Ming itu bukan sahaja menghina serta menconteng arang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya menambah kerosakan imej Perdana Menteri yang dilihat kerap tunduk kepada desakan dan kehendak agenda perkauman parti DAP dalam kerajaan perpaduan.

“Tindakan ini secara halus menggunakan pertubuhan luar iaitu UNESCO untuk menekan kerajaan bagi mengabsahkan budaya dan bahasa di luar pengiktirafan perlembagaan sebagai satu keutamaan kementeriannya.

“Justeru, kami mewakili NGO-NGO Melayu bawah Nasionalis menolak sekeras-kerasnya cadangan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, petang ini.

Menurut Aminuddin, bantahan dibuat selepas menilai kesan daripada pengiktirafan taraf warisan UNESCO di kawasan atau tanah tersebut sangat besar dan merbahaya terhadap kedudukan orang Melayu serta Tanah Melayu.

Jelasnya, terdapat empat kesan iaitu akan mengubah dan menukar Sejarah bumi Melayu ini, sekali gus memadamkan usul asal orang Melayu kerana kawasan tersebut akan dianggap sebagai kawasan asal atau peribumi kepada negara.

Dengan itu, kata beliau, secara tidak langsung memberi erti penduduk di tapak itu dianggap sebagai orang asal peribumi kepada ruang dan tempat tersebut.

“Kedua, kita bantah kerana dengan pengiktirafan itu, mereka boleh mencabar keperibumian penduduk Melayu yang akhirnya penduduk Melayu pula akan dilabel sebagai pendatang di kawasan tersebut dalam arus sejarah masa depan negara.

“Dan ini juga sebagai satu bentuk ethnocide iaitu pembunuhan etnik secara halus dengan memadamkan warisan Melayu yang sudah wujud ribuan tahun.

“Akhir sekali, sekolah vernakular yang wujud dalam kampung Baru Cina tersebut dengan sendirinya akan diiktiraf sebagai pendidikan asal negara, padahal ia dibina oleh penjajah untuk memecah belahkan masyarakat di negara ini,” katanya.

Ujar Aminuddin lagi, kenapa kampung serta tapak bersejarah tamadun asal Melayu yang wujud sejak sekian lama tidak dipilih sebagai Tapak Warisan UNESCO?

“Kenapa kampung baharu Cina yang tidak sampai usia 80 tahun dipilih? Ini yang mendorong kami mendesak kerajaan supaya menolak cadangan pemimpin DAP ini.

“Kerana usaha ini jika dilaksanakan dengan sendirinya akan memadamkan sejarah dan kewujudan orang Melayu serta institusi Melayu di negara ini,” katanya.

NGO itu kemudian menggesa Kor Ming dipecat dari jawatan menteri KPKT kerana menjalankan dasar serta perancangan bersifat perkauman totok dalam kerajaan perpaduan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *