BERITA UTAMA

Kerajaan ambil langkah persediaan hadapi El-Nino

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi beberapa kementerian berkaitan mula mengambil langkah persediaan dalam menghadapi fenomena El-Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.

Setakat ini dijangkakan empat kementerian telah sepakat untuk mengambil langkah itu dengan mengadakan mesyuarat pada 22 Februari ini.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, mesyuarat itu membabitkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Sebagaimana kita tahu, El Nino ini lebih kering dan panas. Tahun lepas rekod terpanas dalam sejarah dunia. Kita akan mengadakan mesyuarat yang biasa kita adakan mengenai cuaca panas dan kering.

“Ini membabitkan beberapa kementerian dan agensi sebab akan ada impak yang besar terhadap pelbagai aktiviti dan kita mahu memastikan persediaan terbaik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) semalam mengumumkan fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka berterusan hingga pertengahan tahun.

Menurut METMalaysia, fenomena itu yang bermula sejak pertengahan tahun lalu boleh berterusan sehingga 18 bulan.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, perbincangan secara berterusan turut diadakan bagi mengatasi isu kebakaran tanah gambut dan jerebu di negara ini.

Beliau berkata, ini termasuk usaha berhubung dengan pihak berwajib di negara jiran, khususnya Indonesia dalam mencapai strategi terbaik ke arah penyelesaian masalah berkenaan.

Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Nik Nazmi supaya menyelaras dengan rakan sejawatnya dalam ASEAN, termasuk Indonesia untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Susulan itu, Malaysia melaksanakan tindakan susulan dengan menghantar surat kepada Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa negeri, tahun lalu.

Indonesia sering dikaitkan dengan pembakaran hutan dan tanah secara terbuka hingga menyebabkan jerebu rentas sempadan.

MetMalaysia pula melaporkan, berdasarkan ramalan terkini, ia dijangka mula melemah dan beralih kepada keadaan neutral secara beransur-ansur menjelang pertengahan tahun ini,” katanya kepada BH.

Berdasarkan episod El Nino terdahulu, fenomena yang kuat itu boleh menyebabkan pengurangan taburan hujan dan peningkatan suhu udara di negara ini berbanding daripada kelaziman, terutama di negeri utara Semenanjung, pedalaman Perak, Kelantan dan Pahang serta Sabah.

Kemuncak kesan El Nino biasanya bermula pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) dan boleh berlarutan sehingga pertengahan tahun. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *