BERITA UTAMA

Tol percuma 2 hari mulai esok sempena Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini bersetuju mengecualikan bayaran tol selama dua hari kepada pengguna lebuh raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

Perkara itu diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang memaklumkan pengecualian tol itu bermula esok hingga Jumaat ini.

“Kemudahan tol percuma itu diberikan hasil persetujuan kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam ini dan berakhir jam 11.59 malam pada Jumaat, membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM42.99 juta.

“Pengecualian tol akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Alexander, tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan rasa ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini diharapkan pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya serta dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Aspek keselamatan dan pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga menasihatkan pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet mencukupi.

Pengguna, katanya, boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

“Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *