BERITA UTAMA

Polis sahkan Tun Taib Mahmud dirawat di rumah

KUCHING – Polis Sarawak mengesahkan bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang dibawa keluar dari Hospital Pakar Normah, Petra Jaya malam Sabtu lalu, kini menerima rawatan di kediamannya di Demak Jaya.

Ketua Polis negeri, Datuk Mancha Ata berkata, Abdul Taib, 87, berada dalam keadaan baik.

“Saya hanya boleh sahkan Tun kini berada di kediamannya di Demak Jaya, kita tidak boleh beri butiran lanjut kerana kes masih dalam siasatan polis.

“Setakat ini, kita menerima lapan laporan berkaitan apa yang berlaku kepada Tun,” katanya kepada media selepas melancarkan Op Selamat sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Tun Abdul Taib yang merupakan bekas Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun dikatakan dibawa ‘lari’ oleh isteri keduanya, Toh Puan Raghad Kurdi dari hospital pakar berkenaan.

Bagaimanapun, Raghad menafikan tuduhan itu, sebaliknya menunjukkan surat dari seorang jururawat.

Mancha berkata, siasatan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *