BERITA UTAMA

McDonald’s salahkan Israel punca rugi

CHICAGO, ILLINOIS – Rangkaian makanan segera terbesar di dunia, McDonald’s gagal mencapai sasaran jualan untuk suku keempat 2023, didorong oleh sentimen boikot kerana menyangka ia menyokong Israel, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Ini merupakan kali pertama McDonald’s gagal mencapai sasaran jualannya dalam masa hampir empat tahun berikutan perkembangan lemah dalam divisyen perniagaan antarabangsa.

Menurut syarikat tersebut, perang Israel-Gaza memberi kesan besar kepada prestasinya di beberapa pasaran luar negara pada suku keempat 2023.

Di sebilangan cawangan McDonald’s termasuk Asia Barat, China dan India, pertumbuhan jualan berada pada angka 0.7 peratus sepanjang tempoh berkenaan, jauh di bawah sasaran yang ditetapkan.

Jualan global keseluruhan pula meningkat kurang daripada empat peratus bagi tempoh sama, merosot daripada 8.8 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinski berkata, perniagaannya di Malaysia, Indonesia dan Perancis turut terjejas dengan impak terbesar dicatatkan di rantau Asia Barat.

Menurut McDonald’s, kempen boikot tersebut berpunca daripada tanggapan salah terhadap francais berkenaan

“Selagi perang ini (Israel-Gaza) berterusan, kami tidak menjangkakan sebarang pemulihan signifikan bagi pasaran-pasaran tersebut,” ujarnya.

Perniagaan McDonald’s bergantung kepada sistem francais di mana beribu-ribu syarikat persendirian mengendalikan dan memiliki sebahagian besar daripada lebih 40,000 cawangannya di seluruh dunia.

Syarikat tersebut mengundang kritikan selepas francaisnya yang berpangkalan di Israel menyatakan bahawa ia memberikan beribu-ribu makanan percuma kepada askar Israel.

Perkembangan itu mencetuskan boikot besar-besaran di negara-negara majoriti penduduk Islam seperti Kuwait dan Pakistan. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *