BERITA UTAMA
Wan Mohd Yusoff (lima dari kiri) bersama pelajar MMRP siap mencorakkan dinding sekolah dengan lukisan mural.

Lukisan mural bangunan sekolah MMRP hasil karya kreatif guru, pelajar

Oleh: Abd Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Semuanya terzahir apabila seorang guru Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP), Wan Mohd Yusoff Wan Mohd Nor meninjau beberapa sekolah di waktu luangnya.

Daripada tinjauan itu, beliau mendapat idea untuk menterjemahkan satu reka seni di bangunan MMRP yang kebetulan nampak kosong dan kaku, walaupun tidak sunyi dari suara riuh pelajar.

Tanpa banyak bicara dan membuang masa, dengan menggunakan wang poket sendiri termasuk mengutip sikit sebanyak dari pelajar, beliau membeli cat dan berus untuk digarapkan di sekolahnya.

Masa cuti sekolah hujung minggu diambil kesempatan oleh Wan Mohd Yusoff dengan dibantu beberapa guru dan pelajar, mereka melakar seni kreatif mural di dinding bangunan MMRP.

Ketika ditemui wartawan, cikgu Wan Mohd Yusoff berkata, inisiatif itu tercetus apabila setiap kali masuk kelas, beliau kerap kali merenungi bangunan sekolah itu.

“Apabila direnung, saya rasa seperti ada yang tidak lengkap pada bangunan ini. Bayangkan hampir 10 tahun dinding bangunan sekolah ini seperti kosong, tidak ceria.

“Lalu, timbul idea untuk mencorakkan lukisan mural supaya bangunan MMRP ini kelihatan ceria dan membangkitkan semangat pelajar untuk belajar menimba ilmu.

“Tanpa buang waktu, saya ajak rakan guru dan pelajar untuk sama-sama menterjemahkan apa yang tercetus dalam minda saya. Akhirnya, inilah jadinya, sebuah lukisan mural di bangunan sekolah,” katanya.

Menurut Wan Mohd Yusoff, kerja menyiapkan lukisan tidak melibatkan wang sekolah, sebaliknya beliau menggunakan simpanannya termasuk bantuan dari rakan guru dan pelajar.

Katanya lagi, cat yang digunakan adalah jenis bermutu tinggi agar tidak luntur dek panas matahari dan hujan, bahkan banjir sekalipun.

“Idea saya ini merupakan serampang dua mata. Pertama, mengindah dan menceriakan sekolah, kedua, dapat melatih pelajar dalam bidang seni lukisan.

“Pengajaran yang mereka dapat ialah kesabaran iaitu seni itu sabar,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *