BERITA UTAMA

16 lagi MP Bersatu akan sokong Anwar?

KUALA LUMPUR – Benarkah 16 lagi Ahli Parlimen dar Parti Bersatu akan berpaling tadah memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim?

Ini bukan desas desus, tetapi dinyatakan sendiri oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang dari Bersatu, Datuk Syed Abu Hussin Abdul Fasal.

Kata beliau, 16 Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) itu membuat keputusan berkenaan menjelang akhir bulan ini.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen PN, semuanya dari Parti Bersatu telah mengisytiharkan diri mereka menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Anwar.

Enam mereka ialah Syed Abu Hussin; Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Parlimen Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Syed Abu Hussin turut menafikan dakwaan beliau menjadi broker untuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya bukan broker. Saya bercakap benar dan saya tidak menghubungi mereka.

“Apa yang saya boleh katakan ialah pembangkang sedang membuat sesuatu yang tidak bermakna. Mustahil untuk MP menyertai pembangkang.

“Mereka tak boleh menjaga yang ada dengan mereka pun,” katanya.

Menjawab soalan media, Syed Abu Hussin berkata, ia tindakan yang tidak bermakna.

Katanya, apa yang mereka rancang tidak bermakna kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan parti bagi tindakan diambil selagi perlembagaan tidak dipinda.

“Rakan-rakan dan saya sendiri hanya menyokong kerajaan, tetapi tidak meninggalkan parti,” tegas beliau. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *