BERITA UTAMA

Legenda bola sepak Khalid Ali meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak negara, Khalid Ali menghembuskan nafas terakhirnya hari ini selepas hampir setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap empat yang disahkan awal Ramadan tahun lalu.

Astro Arena melaporkan, Allahyarham Khalid sebelum ini dimasukkan ke hospital selepas keadaannya yang tidak mengizinkan serta tidak sedarkan diri beberapa hari sebelum akhir riwayatnya.

Sebelum ini, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) membantu bekas atlet negara itu dengan menghulurkan bantuan perubatan berjumlah RM17,000 bagi rawatan kanser paru-paru yang dihadapinya.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dilaporkan berkata, sumbangan yang dimohon pemain berusia 66 tahun itu kepada yayasan tersebut untuk membeli ubat suntikan Pembrolizumab 100 miligram (mg).

“Ubat berkenaan adalah untuk proses susulan selepas bekas pemain tengah skuad kebangsaan era 80-an itu menjalani dua rawatan kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 18 April dan 10 Mei lalu.

“Beliau layak mendapat bantuan berkenaan seperti termaktub dalam Skim Bantuan Khas YAKEB di bawah Bantuan Pembiayaan Rawatan Penyakit Kritikal di mana setiap ahli boleh menerima maksima RM20,000 bagi setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah pemain tersebut.

Takziah buat keluarga Allahyarham Khalid Ali semoga kekal tabah menghadapi dugaan dan semoga arwah tergolong dalam golongan orang yang beriman. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *