BERITA UTAMA

Jurulatih negara nikmati kadar gaji baharu

KUALA LUMPUR – Jurulatih yang berada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) boleh menarik nafas lega apabila bakal menikmati kadar skim gaji dan imbuhan baharu selepas tidak berlaku sebarang pergerakan gaji kira-kira sedekad yang lalu.

Menerusi mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah meluluskan penyelarasan jumlah gaji dan imbuhan baharu untuk Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan Pelapis Kebangsaan akan menikmati kenaikan berdasarkan kepada tahap kelayakan mengikut Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan pengalaman dalam bidang kejurulatihan.

Kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan Sijil SPKK Tahap 3 iaitu kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) bakal menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500 sebulan kepada RM5,900 sebulan mengikut penyelarasan yang baru diluluskan ini.

Hannah berkata, langkah perubahan pada kadar skim gaji dan imbuhan baharu itu wajar dilakukan kerana kali terakhir disemak mengenai pindaan penetapan tangga gaji jurulatih-jurulatih dibuat pada 2014.

Ujar Hannah, jika perkara tersebut tidak dibuat, kemungkinan Malaysia bakal kehilangan jurulatih terbaik yang akan ke luar negara selepas ini. 

“Hari ini MSN telah meluluskan satu kertas untuk mengkaji semula gaji-gaji jurulatih di Malaysia dan kali terakhir kita membuat pindaan tangga gaji itu pada 2014.

“Oleh itu, kita lihat 10 tahun telah lepas dan kalau kita tak kaji semula kita akan kalah kepada negara-negara jiran kita di mana jurulatih kita, atlet kita akan meninggalkan kita, pergi keluar negara.

“Jadi, pengumuman itu akan dibuat oleh MSN secara rasmi mengenai tangga gaji yang baharu ini.

“Tetapi, tahun ini pembaharuan yang kita nak buat ialah mengenai ekosistem terutama untuk bantu atlet kita capai yang terbaik dan ini kita lihat antara sokongan yang dibuat ialah sturktur mereka termasuk jurulatih.

“Apapun, kertas kerja berkenaan tangga gaji itu telah lulus hari ini dan cuma kita kena tunggu kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat ini,” kata Hannah.

Dalam pada itu, untuk menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan turut diberi berdasarkan tahap pencapaian terbaik ketika bergelar atlet. 

Sebagai contoh, bekas atlet yang menjadi jurulatih sepenuh masa dan memiliki pencapaian pingat di temasya Sukan Olimpik ataupun Sukan Paralimpik diberikan imbuhan gaji tambahan RM3,500 sebulan, manakala pencapaian pingat di Kejohanan Dunia menerima imbuhan gaji tambahan sebanyak RM3,000.

Elaun khas berjumlah RM600 juga diluluskan untuk semua jurulatih Program Podium dan Pelapis Kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman ataupun pelepasan oleh majikan), manakala elaun jurulatih separuh masa turut dinaikkan berdasarkan kepada kelayakan SPKK masing-masing.

Penyelarasan terhadap Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan ini diluluskan sebagai penambahbaikan kepada kadar sedia ada dalam skim yang kali terakhir disemak pada tahun 2014. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *