BERITA UTAMA

Jaminan polis, apa kata Tuan Lawyer

KITA selalu dengar jika melibatkan kes jenayah akan ada kenyataan seperti “polis jamin polis”.

Mengapa ia berlaku? Tidakkah setiap kali hendak melepaskan seseorang tertuduh akan dikenakan ikat jamin yang diputuskan oleh mahkamah?

Kenapa polis memandai nak membelakangkan bidang tugas mahkamah dengan membebaskan seseorang OKT itu dengan “jaminan polis”?

Mari kita ikuti penjelasan daripada seorang peguam jenayah, Nik Saiful Adli Burhan yang akan mengupas dan memberikan penerangan secara ringkas tetapi padat untuk kita fahami.

Jaminan polis ini maksudnya dibebaskan dahulu sementara keputusan dibuat oleh pihak pendakwaan sama ada nak tuduh dengan berapa pertuduhan, pertuduhan apa dan bila selepas menilai semua hasil siasatan.

Mahkamah akan menolak permohonan sambung reman apabila didapati sama ada reman sebelum ini memadai untuk dapatkan maklumat dan bukti ataupun bukti-bukti dan keterangan suspek telah diperolehi menyebabkan tiada keperluan suspek ditahan lanjut ataupun pihak penyiasat gagal membuktikan mereka menggunakan sepenuhnya tempoh reman sebelum ini.

Seterusnya Kertas Siasatan (IP) akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan dan diminitkan.

Selepas dapat arahan, suspek akan dipanggil semula untuk menjawab pertuduhan di mahkamah jika ada arahan untuk tuduh.

Selalunya tidak lama, melainkan kes kecederaan atau kematian yang memerlukan laporan-laporan tertentu bagi menentukan penglibatan suspek.

Ikut undang-undang seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, jika tidak dibenarkan sambung reman, suspek hendaklah dilepaskan terlebih dahulu.

Inilah yang disebut Jaminan Polis. Maksudnya, pelepasan dilakukan oleh polis, tanpa wang jaminan dicagarkan, bukan sepertimana jaminan mahkamah yang bercagar.
Jaminan mahkamah hanya boleh buat selepas dituduh di mahkamah, bukan semasa tahanan polis.

Mohon betulkan pemahaman. Jangan kritik. Prosedur itu sama sejak zaman merdeka lagi. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *