BERITA UTAMA

Isu Persempadanan Semula PBT Selangor, Kuala Lumpur Dimuktamad 2025 – Amirudin

SHAH ALAM – Isu persempadanan semula Selangor dan Kuala Lumpur akan dimuktamadkan menjelang 2025, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kata beliau, prosedur itu penting bagi menyelesaikan aspek pembayaran cukai serta penyelenggaraan kawasan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelas beliau, antara isu dibincangkan adalah persempadanan semula Selangor dan Kuala Lumpur yang akan dimuktamadkan melalui satu memorandum persefahaman (MOU) tahun depan yang menumpu penyelesaian aspek pembayaran cukai taksiran dan penyelenggaraan kawasan oleh PBT.

Bagaimanapun, kata Amirudin, masih terdapat beberapa butiran yang perlu dimuktamadkan menjelang tarikh tersebut.

“Perkara lain yang turut dibincangkan adalah projek kawalan air melibatkan Sungai Klang serta urus tadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PBT Selangor agar terus terurus.

“Selain itu, kesinambungan isu projek kawalan air melibatkan Sungai Klang yang telah dibincangkan dalam pertemuan sebelum ini dan juga perkara lain melibatkan urus tadbir DBKL dan PBT Selangor seperti penyelenggaraan supaya tidak berlaku pertindanan atau kelemahan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Ujar beliau, kerajaan Selangor akan memastikan kesejahteraan rakyat negeri itu terus makmur dan sentosa.

Beliau menerima lawatan dan mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa di sini pada Isnin lalu.

Pada 9 Januari lalu, dalam Sesi Temu Rapat Dr. Zaliha bersama warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan itu memaklumkan terdapat 26 kawasan pertindanan melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang dikenal pasti.

Selain itu, antara permasalahan lain yang timbul dan menjadi aduan susulan isu persempadanan itu adalah berkaitan bayaran cukai taksiran dan penyelenggaraan kawasan PBT menyebabkan kesukaran kepada masyarakat. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *