BERITA UTAMA

Ambil pengajaran kes Pulau Batu Puteh – Azalina

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kedaulatan Negara pada sesi Parlimen akan datang untuk bacaan kali kedua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menjelaskan perkara itu berkata, akta tersebut adalah sebagai pengajaran daripada kes Pulau Batu Puteh yang terlepas ke tangan Singapura disebabkan kekhilafan pentadbiran.

Menurut beliau, objektif pembetangan itu supaya apabila negara berhadapan dengan isu kedaulatan dan bertukar kerajaan sekali pun ada satu protokol lain yang tidak boleh ada satu individu politik, sebesar mana pun jawatan beliau membuat keputusan atas kedaulatan seorang diri.

“Isu kedaulatan mesti diselesaikan bersama. Sekretariatnya mungkin Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Maknanya, ia merangkumi rujukan kepada isu kedaulatan dan hak dari segi tanggungjawab negeri.

“Maksudnya juga ialah kita belajar dari kekhilafan ini supaya dalam apa pun peristiwa seperti pertukaran kerajaan, isu kedaulatan jangan disentuh. Cuba kita bayangkan, kerana terlampau seronok dengan tema demokrasi, hak memilih dan pilihan raya kita menggadai kedaulatan kerana terlupa serta terlepas pandang,” katanya pada sesi wawancara poadcast Penerangan UMNO ‘#HitamKelabuPutih’ yang bertajuk ‘Apa Itu RCI’ di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Jelas Azalina, kedaulatan negara adalah satu isu yang akan memberi kesan mendalam terhadap negara dari aspek masa akan datang.

“Kedaulatan ini merupakan satu perkara yang bagi saya adalah hak kita sebagai sebuah negara.

“Seperti kes Sulu, orang Sabah apabila masuk Malaysia, mereka dah tandatangan referendum untuk masuk Malaysia. Keturunan Sulu ini semua cerita lain. Tiba-tiba apabila kita dah duduk, masuk Malaysia, Sabah dah jadi separuh daripada Malaysia, Malaya bertukar nama kepada Malaysia semuanya tiada masalah.

“Tiba-tiba ada sepuluh orang berkata bahawa merekalah keturunan asal yang sebenarnya tuan kepada tanah Sabah. Pada tahun 1878 adanya dokumen mengatakan kononnya mereka yang memberi hak untuk diberikan sewa dan sebagainya. Ini adalah isu kedaulatan,” katanya.

Azalina turut beranggapan dengan adanya kerajaan yang stabil, Malaysia berjaya menang dalam isu tuntutan puak Sulu terhadap Sabah.

Pada 8 Julai 2021 media melaporkan, Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika itu berkata, Tun Dr Mahathir membuat keputusan itu, beberapa hari sebelum kes berkenaan dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 Jun 2018. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *