BERITA UTAMA

Dua lelaki Rohingya lolos depot tahanan dicekup selepas solat Subuh

TAPAH – Dua tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Khamis lalu sempat menunaikan solat Subuh bersama penduduk Kampung Batu Melintang di sini, sebelum ditahan semula polis.

Sinar Harian melaporkan, Siak Masjid Al-Rahmaniah, Ahmad Ishak Mat Isa, 54, berkata, kehadiran kedua-dua pendatang asing tanpa izin (PATI) disedari ketika mereka berkaki ayam menuju ke masjid sekitar jam 6 pagi.

“Keadaan mereka dilihat sangat lemah dengan kesan calar dan kemerah-merahan akibat melecet di kaki.
“Tanpa banyak bicara mereka terus mengambil wuduk dan berada di saf depan dan solat berjemaah bersama kami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Menurut Ahmad, curiga dengan keadaan mereka yang berpakaian lusuh, penduduk sempat menahan dan menghubungi pihak polis.

“Pada awalnya mereka berdalih memaklumkan mereka orang Bangladesh dan kami bercakap seperti ayam dan itik kerana tidak tahu berbahasa Melayu.

“Tetapi melihat keadaan mereka seperti kehausan dan dahaga, kami beri empat botol air bersama dua bungkusan mi goreng. Kesemuanya sekejap sahaja dihabiskan,” katanya.

Sementara itu, pesara guru, Razali Talib, 69, berkata, pada awalnya dua PATI itu memperkenalkan diri sebagai warga Bangladesh yang bekerja di daerah ini.

“Saya tahu mereka berbohong kerana wajah mereka bukan seperti Bangladesh dan tiada pekerja warga sama berada di kampung ini.

“Apabila polis tiba sekitar jam 7.20 pagi dan buat soal siasat, barulah kedua-dua lelaki itu mengaku yang mereka adalah tahanan etnik Rohingya yang lari dari depot tahanan di Bidor,” katanya.

Razali yang juga Imam masjid berkenaan berkata, penduduk peka dengan insiden melibatkan pelarian berkenaan sejak Jumaat lalu.

“Selepas sembahyang Jumaat, kita maklumkan kepada penduduk untuk lebih berhati-hati dan menjadi mata dan telinga sekiranya melihat individu yang dalam keadaan mencurigakan.

“Ada sedikit rasa bimbang takut berlaku kejadian curi dan sebagainya. Kami rasa bertanggungjawab apabila dapat menyumbang sedikit membantu pihak polis,” katanya.

Sinar Harian melaporkan tahanan warga asing yang melarikan diri dari depot terlibat dikesan mula keluar dari kawasan persembunyian akibat kelaparan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ada kalangan mereka memberanikan diri datang ke masjid untuk meminta minuman daripada jemaah.

Setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 10 tahanan lolos berjaya diberkas semula dengan satu tangkapan terbaru di Kampung Orang Asli Sementa dan Masjid Batu Melintang yang berada pada kedudukan radius 12 kilometer dari depot tahanan.

Pada Khamis media melaporkan seramai 131 PATI melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh. – Sinar Harian

Keterangan gambar: Dua tahanan etnik Rohingya yang ditahan di Masjid Al-Rahmaniah pada Sabtu selepas dua hari melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor. – Foto ihsan pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *