BERITA UTAMA

Ahmad Zahid adakan pertemuan dengan ketua bahagian UMNO esok

PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan perjumpaan khas bersama ketua-ketua bahagian parti itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Perjumpaan itu dipercayai bagi menjelaskan kedudukan parti susulan pengumuman pengurangan tempoh hukuman bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan berkata, perjumpaan khas tertutup Ahmad Zahid bersama ketua-ketua bahagian UMNO akan diadakan jam 4 petang esok (hari ini) di Dewan Tun Hussein Onn, WTC,” lapor KOSMO.

Semalam, MKT UMNO mengadakan mesyuarat khas di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur bagi membincangkan berkaitan pengampunan Najib.

Hasil daripada mesyuarat tersebut, MKT UMNO menegaskan parti akan meneruskan usaha mendapatkan pembelaan untuk bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan tempoh hukuman Najib sebanyak 50 peratus yang mana beliau akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain itu, denda yang perlu dibayar Najib sebanyak RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib menjalani hukuman sejak 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. – KOSMO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *